Razip terima sebarang keputusan PBNP

KUANTAN: Selepas memastikan Pahang kekal dalam saingan Liga Super musim depan, Razip Ismail kini menyerahkan kedudukannya selaku jurulatih Pahang kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sama ada khidmatnya dikekalkan atau sebaliknya bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu menerima segala keputusan jika khidmatnya tidak disambung kerana sudah menjalankan tanggungjawab pada tahap terbaik kerana kontraknya akan berakhir Disember depan.

Katanya, kejayaan Pahang kekal dalam saingan Liga Super musim depan memenuhi misinya untuk memastikan skuad Tok Gajah kekal beraksi ketika bergelut pada pusingan pertama dan kedua liga.

“Bagi saya Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan PBNP sudah dipenuhi walaupun gagal membantu Pahang layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

“Berada di tangga sembilan dalam liga sudah boleh dikira memuaskan kerana prestasi skuad Pahang pada awal musim agak kurang memberangsangkan.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana pemain sedia ada berjaya mengekalkan skuad ini kekal dalam liga musim depan,” katanya ketika dihubungi di sini, pagi tadi.

Mengulas keputusan seri 1-1 dengan T-Team kelmarin, beliau berpuas hati dengan semangat dan komitmen semua pemain termasuk pemain muda yang diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

Katanya, biarpun misi utama adalah mengutip tiga mata tidak kesampaian, keupayaan mengikat tuan rumah sememangnya sudah cukup bermakna.

“Saya berterima kasih kepada pemain dan mengharapkan pemain muda dapat meningkatkan lagi prestasi mereka supaya dapat bersaing dengan pemain lebih pengalaman,” katanya.


Comments

#4866121 38 points / 14 Mar / Like / Reply

Well I guess I don't have to spend the weekend fiigrung this one out!

News Tags